Monday, September 14, 2009

HIDUP INI SUATU PERJALANAN



Odyssey berasal dari bahasa Greek, bermaksud pengembaraan jauh yang dipenuhi pelbagai peristiwa dan pengalaman. Istilah Odyssey juga digunakan untuk menceritakan perjalanan pencarian makna hakiki kehidupan dengan akal intelek dan jiwa spiritual, contohnya spiritual odyssey.
Karya sastera Greek oleh Homer pada tahun 800 SM tentang Odysseus, seorang panglima perang yang hebat dan raja bijaksana merupakan kisah yang sinonim dengan istilah Odyssey . Odysseus menghabiskan masa sepuluh tahun di medan perang Troy dan selepas perang berakhir, Odysseus mengambil masa sepuluh tahun perjalanan kembali kepada keluarganya. Kisah ini sering dipentaskan dengan tajuk The Odyssey yang bermakna ‘perjalanan’ atau ‘pengembaraan’.

Odyssey yang dimaksudkan di sini adalah tentang pengembaraan hati, silih bergantinya perasaan dalam menghadapi setiap peristiwa yang ditakdirkan sepanjang pengalaman hidup seharian walaupun pengalaman itu pada zahirnya kelihatan remeh temeh, kecil dan dianggap ‘tiada apa-apa yang penting’ atau ‘biasa-biasa saja’.

Perasaan manusia bersilih ganti, datang dan pergi. Cinta, kasih, sayang, gembira, bahagia mengharap, bersemangat, yakin, bersyukur, sedih, kesal, marah, bimbang, risau, tercabar, malu, kagum, cemburu, kecewa, jijik dan sebagainya.

Kita merasa bahagia, gembira, bersemanagat apabila mendapat apa yang diminta dan diinginkan. Sebaliknya merasa kecewa, sedih, kesal, marah dan risau bila keinginan dan hasrat tidak tercapai. Dalam kata lain, ada rasa atau emosi yang terhasil antara keinginan dan apa yang sebenarnya berlaku. Adakah tujuan hidup ini untuk menanggung derita kekecewaan atas keinginan yang tidak tercapai...atau berbahagia apabila keinginan berjaya dimiliki?

Sesungguhnya tidak ada suatu pun yang Allah ciptakan dalam keadaan sia-sia. Semuanya telah disusunatur oleh Allah.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali Imran:190-191)

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). ( Surah Al Insan: 30 )

"Tidak ada suatu bencana apa pun yang menimpa di muka bumi ini dan tidak pula pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab lauh mahfuz, sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Kami jelaskan yang demikian itu agar kalian tidak berduka cita dari apa yang lepas dari diri kalian dan supaya kalian jangan terlalu bergembira terhadap apa yang diberikan-Nya terhadap kalian dan Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Al-Hadid: 22-23).

Setiap pengalaman dan perasaan adalah platform atau peluang mengenal Allah. Allah suka diri-Nya dikenali seperti maksud hadis qudsi:
Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali”.
Pencipta dikenal melalui sifat-Nya. Sifat-sifat-Nya termaktub dalam nama-nama-Nya yang indah iaitu Asmulhusna. Antara Asmaulhusna Allah disebut dalam maksud Surah Al-Hasyr, ayat 21 hingga 24.
"Sekiranya Kami menurunkan al Quran itu ke atas sebuah gunung nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk (tunduk) serta hancur berkecai kerana takut kepada Allah. Perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya. Dia-lah Allah tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dia-lah Ar Rahman (Yang Maha Pengasih), Ar Rahim (Yang Maha Penyayang). Dialah Allah tiada Tuhan selain Dia, Al Malik (Yang Maha Memiliki), Al Quddus (Yang Maha Suci), As Salam (Yang Maha Sejahtera), Al Mukmin (Yang Menjaga Keamanan), Al Muhaimin (Yang Maha Memelihara Keselamatan), Al 'Aziz (Yang Maha Perkasa), Al Jabbar (Yang Maha Kuasa), Al Mutakabbir (Yang Memiliki segala Keagungan). Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. Dialah Allah Al Khaliq (Yang Mencipta), Al Baari (Yang Mengadakan), Al Musawwir (Yang Membentuk Rupa). Dia Memiliki nama-nama yang indah. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada dilangit dan di bumi. Dan Dia Al Aziz ( Yang Maha Perkasa) lagi Al Hakim ( Maha Bijaksana)." (Al-Hasyr: 21-24)
Maksud surah Al A’raaf, ayat 180:
“Allah mempunyai Asma’ulhusna. Maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asma’ulhusna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” ( Al A'raf : 180)
Maksud hadis:
"Allah mempunyai 99 nama, 100 kurang  1. Barangsiapa memahaminya akan masuk syurga." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Para ulama menyimpulkan 99 nama Allah dalam Asma’ulhusna. Alangkah baik jika manusia dapat menjadikan Odyssey perasaannya sebagai satu proses ‘berkenalan dengan Pencipta’ melalui nama-nama-Nya yang indah.
Manusia dicipta Allah sebagai khalifah mukabumi .

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". (Surah Al Baqarah:30)

Khalifah secara ringkas adalah ‘wakil’ Allah untuk menjalankan segala peraturan-Nya di bumi. Tidak mungkin manusia dapat menjalankan peranan ini tanpa kenal Allah yang mencipta seluruh alam.

Manusia juga dicipta untuk tujuan pengabdian seperti yang ternukil dalam maksud ayat quran:
"Tidak Kami jadikan jin dan manusia, melainkan beribadah kepada Ku.” (Surah Ad Dzaariyat:56)

Semoga silih bergantinya perasaan tidak menyebabkan kita lupa bahawa kita hanya hamba yang perlu tunduk dan pasrah kepada Allah yang Maha Agung. Apa jua yang datang, semoga doa dari maksud ayat quran berikut menjadi penawar.

“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Surah An Naml: 40)